Liberalisme
Liberalisme adalah satu falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik yang tertinggi. Walaupun liberalisme berakar umbi dari Zaman Kebangkitan Barat, ia sekarang mengandungi pemikiran politik yang luas dan kaya dari segi sumber. Seseorang yang menerima fahaman liberalisme dipanggil seorang liberal. Walau bagaimanapun, maksud perkataan liberal mungkin berubah mengikut konteks sesebuah negara. Secara amnya, liberalisme mengutamakan hak-hak peribadi serta kesamarataan terhadap peluang untuk semua. Falsafah ini ingin membentuk satu masyarakat yang mempertahankan pemikiran yang bebas untuk setiap orang, batasan kepada kuasa khususnya kuasa kerajaan dan agama, kedaulatan undang-undang, pendidikan awam yang percuma, kebebasan bertukar fikiran, ekonomi pasaran yang memberikan kebebasan menjalankan perusahaan peribadi dan sistem kerajaan yang terbuka yang melindungi hak-hak semua rakyat secara adil dan saksama. Di dalam masyarakat moden, mereka yang liberal mengemari sistem pengundian yang adil dan terbuka di dalam sistem demokrasi liberal di mana semua rakyat mempunyai hak-hak yang sama rata di bawah undang-undang dan peluang yang saksama untuk berjaya. Ramai liberal moden memperjuangkan penglibatan kerajaan yang lebih besar di dalam pasaran bebas. Penglibatan ini selalunya termasuk undang-undang anti-diskriminasi, peperiksaan perkhidmatan awam, pendidikan awam dan pencukaian progresif. Falsafah ini adalah satu unjuran dari fahaman yang mengatakan bahawa kerajaan perlu menjaga kebajikan rakyat ke sesuatu takat. Perkhidmatan-perkhidmatan kebajikan ini termasuk pampasan pengangguran, tempat tinggal untuk mereka yang merempat dan kemudahan perubatan bagi mereka yang sakit. Ahli-ahli moden liberalisme klasikal sebaliknya menolak perusahaan-perusahaan yang dibayar dengan wang awam. Liberalisme klasik mengutamakan kepentingan kebebasan perusahaan peribadi, hak-hak kehartaan individu dan kebebasan perjanjian. Pemikiran ini juga menerima ketidaksamarataan pengagihan kekayaan berpunca daripada persaingan di pasaran bebas yang tidak mengacam hak-hak kehartaan seseorang. Walaupun begitu, mereka percaya bahawa syarikat perlu dikenakan cukai yang lebih tinggi dan menolak individu perlu dikenakan cukai. Ini adalah sangat berbeza daripada falsafah liberal klasikal yang awal. Liberalisme menolak kebanyakan tanggapan asas yang dapat dibaca di dalam hampir semua teori pembentukan kerajaan awal seperti seperti hak-hak raja yang diberikan oleh tuhan , status yang berasaskan keturunan dan institusi-institusi agama. Hak-hak asasi manusia yang disokong oleh semua liberal termasuk hak untuk hidup, kebebasan dan kehartaan. Penggunaan frasa liberalisme secara am dilihat dari konteks demokrasi liberal. Di dalam erti kata ini, ia merujuk kepada kuasa kerajaan yang terhad dan hak-hak rakyat yang jelas. Liberalisme digunapakai oleh hampir kesemua demokrasi Barat. Oleh itu, liberalisme tidak semestinya berkaitan kepada parti politik liberal secara esklusif. Terdapat perbezaan pendapat yang mendalam di dalam rangka liberalisme. Perbezaan pendapat ini selalunya membawa kepada perdebatan yang hebat dan garang di antara ahli-ahli liberal. Daripada perpecahan ini dari sudut liberalisme klasik, wujud beberapa pergerakan di dalam liberalisme. Seperti di dalam banyak perdebatan, kumpulan-kumpulan yang bertentangan menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza untuk menyatakan kepercayaan-kepercayaan yang sama dan kadang-kala, mereka menggunakan perkataan-perkataan yang sama untuk menerangkan perkara-perkara yang berbeza. Di dalam artikel ini, "liberalisme politik" akan digunakan untuk sokongan terhadap demokrasi liberal (republik ataupun raja berperlembagaan) yang menentang raja berkuasa mutlak atau diktator; "liberalisme budaya" untuk sokongan terhadap kebebasan peribadi yang menentang undang-undang yang mengongkong kebebasan di atas dasar nationalisme atau agama; "liberalisme ekonomik" untuk sokongan terhadap harta peribadi and menentang peraturan-peraturan yang mengekang hak-hak terhadap harta peribadi yang ditulis oleh kerajaan; dan "liberalisme sosial" di mana ia menunjukan sokongan terhadap kesaksamaan and menentang ketidak samarataan peluang. Bagi "liberalisme moden" pula bermaksud campuran bentuk-bentuk liberalisme yang tercatat sebelum ini yang boleh ditemui di negara-negara maju sekarang
0 ulasan:
Catat Ulasan